Saya tulis Nota ini pada pagi Khamis 10 Mac 2011 bersamaan 4 Rabi'ul Akhir (4) 1432. Malam tadi hujan, begitu juga malam semalam. Ketika saya tulis Nota ini (8.08 pagi), di Segamat masih hujan. Waktu subuh tadi, saya lihat hujan yang turun itu sekata sebagaimana hujan banjir akhir Januari 2011. Banjir di Segamat pada tahun ini berlaku pada bulan Januari-Februari. Sebelum ini ia kerap berlaku bulan November-Disember.
19 MAC: BULAN AMAT HAMPIR DENGAN BUMI (PERIGREE)
Minggu depan, iaitu pada 19 Mac 2011, bulan akan berada pada jarak yang paling hampir dengan bumi, iaitu 221,567 batu (356,578 km). Menurut Daily Mail, keadaan seperti itu akan menyebabkan perubahan cuaca yang ketara seluruh dunia, atau terjadinya gempa bumi dan letupan gunung berapi. Sebelum ini tahun 1955, 1974, 1992 dan 2005 telah berlaku keadaan cuaca yang ekstrim. Tsunami di Indonesia yang meragut ratusan ribu nyawa berlaku 2 minggu sebelum perigree tahun 2005. Di hari Krismas pada tahun 1974 pula, puting beliung Tracy telah memusnahkan bandar Darwin, Australia.
Tidak semua ahli astronomi setuju dengan pendapat bahawa perigree akan menyebabkan bencana seperti itu. Peter Wheeler dari Pusat Radio Astronomi Antarabangsa menyatakan bahawa jika berlaku gempa bumi dan ledakan gunung berapi pada ketika itu, ia adalah kebetulan. Menurutnya perigree hanya akan menyebabkan air laut pasang besar dan surut besar, tidak ada perkara luar biasa akan berlaku. David Reneke dari Australia juga tidak setuju dengan pendapat bahawa perigree menyebabkan bencana besar. Menurutnya, jika itu belaku, ia hanyalah kebetulan. Tapi ombak besar memang akan berlaku ketika itu. Menurut http://earthsky.org/ ombak besar akan berlanjutan untuk beberapa hari selepas itu, terutama jika ombak besar ini disertai oleh angin kuat di kawasan pantai.
RAMAI BAYI BAKAL LAHIR
Pengalaman para doktor hospital-hospital seluruh dunia ialah mereka berada dalam keadaan yang cukup sibuk ketika bulan mengambang penuh. Kenapa? Kerana pada ketika itu ramai bayi yang lahir! Maka pada 19 Mac ini dijangkakan para doktor akan lebih sibuk lagi. Mudah-mudahan kerana menyambut kelahiran bayi saja..
KINI BULAN SUDAH ADA MEDAN MAGNET SENDIRI
Pada bulan Januari, pengesan bawah bumi (seismic sensors) yang diletakkan oleh angkasawan Apollo di atas permukaan bulan telah dapat mengesan bahawa bulan punya teras cecair (liquid core), sebagaimana bumi. Para saintis NASA menyatakan bahawa bulan mempunyai teras cecair yang kaya dengan unsur besi setebal radius 150 batu (241 kilometer) kemudian ada satu lapis cecair lagi, radiusnya 205 batu (330 kilometer). Apa yang membezakan bumi ialah satu lapis logam cair di sekitar nukleus, radiusnya dianggarkan 300 batu (483 kilometer). Maka data terkini bulan Januari itu mungkin menunjukkan bahawa Bulan kini sudah ada medan magnet sendiri dan ia semakin kuat. (http://scienceray.com/)
KESIMPULAN
Cuaca pada akhir-akhir ini agak luarbiasa. Ia berlaku di seluruh dunia. Kalau dulu di Segamat ini banjir besar dikatakan berlaku puluhan tahun sekali, kini ia sudah berlaku selang 5 tahun saja. Mungkin juga kerana Bulan pada masa kini sudah tidak seperti Bulan di zaman datuk nenek kita. Ia sudah ada medan magnet sendiri.
Saya ada memberitahu isteri saya mengenai hal ini. Sekolah tempat beliau bertugas memang berada di kawasan banjir. Semasa banjir bulan Januari-Februari lalu, air naik sedalam 20 kaki diukur dari dataran sekolah, menenggelamkan seluruh Tingkat Bawah bangunan utama dan hampir 2 kaki Tingkat 1. Buatlah persediaan apa yang patut. Cuba kurangkan kemungkinan kerugian jika banjir berlaku sekali lagi.
Untuk sahabat-sahabat yang mendiami kawasan pantai, yang mencari rezeki sebagai nelayan, atau yang bertugas di laut, eloklah berhati-hati juga.
Apa pun, sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Dia selamatkan kita dari malapetaka yang mungkin akan berlaku. Dalam masa yang sama, umat Islam perlulah muhasabah diri, laksanakanlah segala yang Dia suruh dan jauhkanlah segala yang Dia larang.
والله اعلم بالصواب
amin...moga2 Allah melindungi kita suma..
ReplyDeletesma2la kita mengukuhkan amalan dan bekalan utk kehidupan y abadi~~
ReplyDeleteAmin..
serammm..
ReplyDelete